Sunday, December 27, 2009

Kembali ke sekolah

MUSIM cuti sekolah untuk tahun 2009 bakal berakhir tidak lama lagi. Perasaan untuk menjejakkan kaki semula ke destinasi bergelar sekolah mungkin menggembirakan sesetengah kanak-kanak dan mungkin menghampakan sebahagiannya. Hampa kerana tempoh untuk bersuka-ria dan berseronok telah sampai ke penghujungnya.

Namun, tiada yang perlu dirisaukan. Sebabnya sebagai ibu bapa, ada beberapa tip ringkas yang boleh dicuba. Ini bagi membantu menyelaraskan semula mood anak bagi berdepan dengan sesi persekolahan yang baru.

Selaraskan semula waktu tidur

Andai kata sepanjang musim cuti anak anda banyak menghabiskan masa sehingga lewat malam sebelum masuk tidur, maka sekarang tiba masanya untuk memperbetulkan semula waktu itu. Seorang pakar tidur pediatrik dari Klinik Gangguan Tidur Stanford, Amerika Syarikat (AS), Dr. Rafael Pelayo pernah berkata, jika anak memahami kebaikan tidur untuk dirinya, si anak lebih rela melakukannya tanpa paksaan.

Sebagai ibu bapa, anda perlu meyakinkan anak bahawa jadual harian anda juga akan diselaraskan semula. Dengan cara itu, anak akan lebih memahami bahawa seluruh keluarga juga bersedia untuk berdepan dengan perubahan itu.

Ceriakan anak

Pastikan anak rasa dihargai. Ibu bapa boleh membenarkan anak menonton rancangan kegemarannya seketika selepas dia dikejutkan pada waktu pagi.

Cadangan itu mungkin kedengaran agak tidak masuk akal. Tetapi Dr. Pelayo berpendapat cara itu merupakan satu ganjaran untuk si kecil. Apabila anak sudah berjaya menyesuaikan diri dengan ganjaran yang sedikit itu, ia akan menjadi satu tabiat untuk bangun awal dan bersiap.

Jangan memaksa

Paksaan selalunya tidak akan membuahkan hasil yang positif. Sehari sebelum sesi sekolah bermula, anak anda mungkin berasa agak malas untuk masuk tidur. Usah bimbang, untuk sehari itu sahaja, Dr. Pelayo meyakinkan itu bukan satu masalah besar.

Cubaan untuk meyakinkan anak dengan berkata: "Esok ialah hari pertama sekolah dan awak perlu masuk tidur sekarang juga" hanya akan menambahkan tekanan si anak.

Biarkan anak selesa dengan caranya

Seorang perunding pendidikan, Marcella Moran pernah berkata, kebanyakan ibu bapa suka menyusun atur cara kerja anak mengikut corak peribadi mereka. Perlu diingatkan bahawa apa yang sesuai untuk diri anda tidak semestinya sesuai dengan gaya kerja anak.

Ini bagaimanapun tidaklah bermakna anda tidak boleh membantu langsung anak tentang cara dan tempat kerja yang sempurna. Dapatkan sebuah meja kosong dan letakkan barang-barang yang diperlukan oleh anak untuk menyiapkan kerja rumahnya.

Antaranya termasuk buku, pensel, komputer, minuman mahupun snek-snek. Pastikan segala barangan itu mudah dicapai oleh anak. Dengan adanya panduan dan tempat kerja yang sesuai, anak anda boleh membuat kerjanya dengan lebih tenang dan efisien.

Berikan sokongan

Tidak mengejutkan jika anak takut apabila terbayangkan lambakan kerja rumah yang bakal datang satu per satu. Anda boleh memberi anak keyakinan dan sokongan bahawa enam minggu pertama sesi persekolahan ialah tempoh transisi untuk anak belajar semula.

Benarkan anak belajar mengikut kadar kepantasan sendiri. Jika perlu, dapatkan seorang guru untuk membantunya. Pastikan anda tidak menggunakan nada-nada yang mampu meruntuhkan semangatnya. Sebagai contoh, jangan berkata: "Ya, memang kita semua teruk dalam Matematik, jadi awak pun dapat gen yang sama!"

Nada pertuturan seperti itu hanya akan memburukkan keadaan dan melemahkan semangat mereka yang benar-benar ikhlas ingin belajar. Sebaliknya, gunakan pendekatan yang lebih baik seperti: "Ya, memang benar Matematik itu susah tetapi awak boleh mencuba berkali-kali sehingga berjaya."

Kenali rakan sekelas anak anda

Masalah sosial ialah satu isu besar yang membelenggu kanak-kanak. Lebih-lebih lagi pada awal sesi persekolahan bermula.

Andai kata anak anda pernah mengalami pengalaman dibuli pada tahun lepas, sudah pastinya mereka akan berasa takut jika perkara yang sama berulang. Banyak yang boleh anda lakukan pada hari pertama sesi persekolahan.

Misalnya, cuba kenali siapa rakan-rakan sekelasnya. Ataupun, aturkan masa untuk makan bersama anak dan rakan baik anak anda dan ibunya di sekolah. Dengan cara ini, kedua-dua belah pihak boleh saling membantu pada waktu memerlukan.

No comments:

Post a Comment

Surah ar-Rahman