Sunday, December 27, 2009

kekasih ditahan

KUALA LUMPUR - Polis menahan sepasang kekasih bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki menjadi mangsa rogol sebelum dibunuh dan mayatnya dicampak ke dalam kolam tadahan banjir di Kampung Boyan, Lorong Gurney di Jalan Semarak di sini Selasa lalu.



Penahanan pasangan yang kedua-duanya berumur 34 tahun itu dibuat malam kelmarin dan semalam.

Suspek wanita dipercayai ibu kepada kanak-kanak itu ditahan pada pukul 8 malam selepas dia datang membuat laporan berhubung kehilangan anaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Wanita itu dalam laporannya mendakwa, dia kehilangan seorang anak perempuan dikenali sebagai Venusha Rita, 9.

Dia yang merupakan seorang penganggur datang ke balai polis dalam keadaan mabuk.

Wanita itu membawa bersamanya sekeping gambar yang didakwa sebagai anaknya, Venusha berserta sijil kelahiran.

Bagaimanapun, wanita itu ditahan selepas laporan yang dibuatnya didapati mencurigakan.

Ekoran itu, polis menahan pasangannya pada pukul 4 petang semalam selepas lelaki itu memberi keterangan di Balai Sentul.

Suspek lelaki itu bekerja sebagai buruh di sebuah syarikat mengangkut sampah di ibu negara.

Pasangan yang ditahan itu didakwa tinggal serumah di kawasan Dang Wangi tanpa mempunyai ikatan perkahwinan.

Berikutan penahanan pasangan itu, polis sedang melakukan siasatan secara terperinci dengan dibantu sepasukan polis Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur dan polis Bukit Aman.

Mengikut laporan wanita itu, dia mendakwa anaknya, Venusha hilang pada 21 Disember lalu.

Sehari selepas kehilangan Venusha, polis menemui mayat seorang kanak-kanak di dalam kolam tadahan banjir di Kampung Boyan.

Mayat kanak-kanak itu ketika ditemui hanya memakai baju dan hasil bedah siasat kelmarin, polis mengesahkan mangsa dirogol sebelum lehernya dijerut.

Laporan wanita itu turut mendakwa, teman lelakinya telah membawa lari Venusha pada hari tersebut sebelum meminta wang tebusan sebanyak RM2,000 jika tidak mahu mangsa diapa-apakan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, polis menahan wanita itu selepas mendapati laporan dan keterangan yang diberi mencurigakan.

"Polis telah memadankan gambar seorang kanak-kanak yang dibawa wanita itu dengan gambar kanak-kanak yang ditemui mati namun ia kelihatan sedikit berbeza.

"Sebaik dibawa mengecam mayat kanak-kanak itu di Hospital Kuala Lumpur wanita itu mengesahkan bahawa kanak-kanak itu merupakan anaknya yang hilang berdasarkan pakaian dan fizikalnya," kata Khairi ketika dihubungi di sini semalam.

Berikutan itu, menurut beliau, polis akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi memastikan kesahihan dakwaan wanita itu sebagai ibu kepada kanak-kanak yang ditemui mati.

Dalam pada itu, Khairi memberitahu, polis sedang melakukan siasatan daripada pelbagai sudut termasuk dakwaan wanita itu telah menjual anaknya kepada pihak tertentu dengan harga RM2,000.

"Kita sedang memperincikan siasatan dengan menyoal siasat pasangan tersebut termasuk menyiasat sama ada wanita itu menjual anaknya sebelum anaknya ditemui mati," katanya.

Wanita itu direman selama enam hari bermula semalam manakala bagi suspek lelaki polis akan memohon reman terhadapnya hari ini.

Pasangan itu ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


No comments:

Post a Comment

Surah ar-Rahman