Sunday, December 27, 2009

Cemburu

DALAM tempoh sebulan yang lalu, kita digemparkan dengan empat kes keganasan fizikal dan kematian akibat cemburu. Apa yang menarik satu daripada tiga kes keganasan membabitkan pasangan suami isteri warga emas.
Ketiga-tiga kes berpunca daripada rasa cemburu yang tidak dapat ditanggung oleh salah seorang pasangan. Dua daripada tiga kes yang dilaporkan akhbar menyatakan tindakan keganasan fizikal bahana cemburu dilakukan oleh isteri. Dua kes lagi oleh pasangan lelaki dengan menggunakan senjata tajam dan senjata api.

Isu cemburu yang membawa kepada perbalahan menjadi punca keganasan rumah tangga dan kalangan pasangan kekasih pada dasarnya ialah isu peribadi. Tetapi apabila perbalahan membawa kepada keganasan atau lebih tragis lagi dengan kematian, situasi itu bertukar status menjadi jenayah mengikut lunas-lunas perundangan.

Apa yang ketara kes-kes keganasan rumah tangga akibat cemburu bukan hanya daripada tiga kes minggu lalu. Kes-kes lain sebelum ini pun hanya diurus dari aspek perundangan, bukannya dari aspek psikologi.

Hukuman seperti dipenjarakan tidak menyelesaikan masalah jenayah cinta akibat cemburu. Hanya pasangan yang melakukan penderaan, pembunuhan dikenakan tindakan hukuman jika didapati bersalah. Pasangan yang cedera dalam pelbagai bentuk kecederaan fizikal hanya dirawat secara fizikal tetapi tidak kesakitan psikologikal. Keperitan, penderitaan akibat cemburu ditanggung sendirian tanpa ada sebarang intervensi psikologikal bagi merawat dan memulih kesakitan emosi, mental dan spiritual.

Kesakitan psikologikal yang tidak dapat dilihat dari mata kasar dalam bentuk trauma, tekanan, kesan daripada keganasan domestik tidak dikendalikan sewajarnya. Kelegaan dirasai oleh mangsa yang didera, diganasi atau waris ahli keluarga yang mati akibat keganasan bencana cemburu tidak berakhir di situ.

Kesan trauma, tekanan akibat post traumatic stress disorder akibat keganasan rumah tangga dan perhubungan percintaan romantik berlarutan, selain mengganggu mangsa secara psikologikal dalam jangka masa yang agak lama. Realiti memperlihatkan bahawa pasangan yang melakukan jenayah cinta akibat cemburu tidak diurus, dikendalikan kerana ia dilihat sebagai kes jenayah dan bukan kes psikologi yang meliputi kesan mental serta emosi.

Punca jenayah akibat cinta atau lazim dilabel sebagai crime of passion kerana cemburu membuatkan kebanyakan kita tertanya-tanya bagaimana cemburu yang dicetuskan oleh tingkah laku seperti meminta cerai, perhubungan dengan orang ketiga atau hanya syak wasangka wujud orang ketiga mendorong kepada keganasan, pembunuhan akibat hilang kewarasan dan pertimbangan?

Jawapan kepada persoalan itu berpunca daripada pelbagai gabungan isu psikologikal yang begitu kompleks. Ini termasuklah personaliti pelaku, sejarah kehidupan yang melibatkan latar belakang pelaku dan mangsa keganasan akibat cemburu. Corak perhubungan suami isteri mahupun antara pasangan kekasih perlu diketahui, difahami bagi memahami isu jenayah cinta kesan bahana cemburu.

Malangnya di Malaysia, kita tidak ada kaunselor yang mengkhusus dalam bidang kaunseling perkahwinan seperti di Amerika Syarikat (AS). Ia dikenali sebagai Marriage & Family Therapy atau kaunseling perkahwinan. Tumpuannya hanya mengurus permasalahan sosio emosi perhubungan suami isteri dalam kehidupan berumah-tangga. Di pejabat-pejabat agama di Malaysia, kaunseling perspektif Islam digunakan oleh kaunselor. Malangnya mereka tidak terlatih dalam kaunseling perkahwinan sepenuhnya.

Pendekatan kaunseling perkahwinan memerlukan kaedah tatacara yang tersendiri dalam mengurus isu-isu perkahwinan termasuk isu cemburu yang amat berkaitan dengan persoalan cinta, kasih sayang malah seksual. Isu cemburu dalam kerangka yang lebih luas perlu didalami, difahami sebelum tindakan susulan dalam apa jua bentuk intervensi dapat dilakukan, dilaksanakan bagi membantu pasangan yang berbalah ekoran daripada isu cemburu.

Tekanan kesan daripada cemburu berbeza-beza di antara pasangan suami isteri dan kekasih. Ada yang dapat mengendalikan isu cemburu bersendirian yang menekan minda, emosi dan tindakan. Ketidak upayaan mengurus tekanan akibat cemburu mengganggu aktiviti harian. Malah ada masalah rumah tangga terbawa-bawa ke tempat kerja hingga mengganggu tugas dan tanggungjawab sebagai pekerja. Ia kadang kala membuatkan majikan terpaksa mencelah sama ada secara langsung atau tidak.

Memang cemburu adalah permasalahan yang lazim dihadapi dalam kehidupan berumahtangga dan mereka yang bercinta. Bezanya adalah dari segi darjah keamatan cemburu yang dialami dan cara setiap individu mengendalikan isu cemburu masing-masing.

Perbalahan lisan, penderaan fizikal, mental dan emosi dalam suasana dramatik dan kritikal akibat cemburu dilihat sebagai sesuatu yang biasa.

Persepsi kesan daripada kelaziman biasa itu antara faktor yang menghalang diri daripada menikmati kesejahteraan dan kesihatan mental yang baik.

No comments:

Post a Comment